Pengajaran dan pembelajaran yang
menarik memerlukan teknik dan strategi yang pelbagai. Untuk meransang dan
menjadikan proses pengajaran dalam kelas pemulihan lebih menghiburkan, guru
boleh menggunakan teknik nyanyian. Nyanyian merupakan salah satu aktiviti yang
disarankan dalam dididk hibur yang melibatakan perkembangan kreatif dan daya
estetika. Aktiviti nyanyian yang dirancang dapat menyumbang kepada proses
perkembangan murid-murid secara menyeluruh meliputi perkembangan intelek, emosi,
sosial dan fizikal. Dua kemahiran yang ditekankan adalah aktiviti menyebut seni
kata lagu dengan jelas, manakala kemahiran kedua ialah murid dapat memahami
seni kata lagu melalui persembahan nyanyian.
Elemen Didik Hibur
dalam Aktiviti Nyanyian
- Santai – Mendengar lagu dan membaca senikata lagu yang digemari.
- Lucu – Mengubahsuai seni kata lagu mengikut jalan tema sendiri.
- Seronok dan gembira – Banyak aktiviti nyanyian dan gerak badan.
- Semangat mencuba – Usaha murid untuk menghasilkan cerita ringkas daripada tema atau perkataan dalam senikata lagu berkenaan.
- Tidak takut – Guru turut menyanyi bersama-sama murid.
- Tidak stres – Murid berasa usaha mereka dihargai guru dan rakan-rakan.
Di bawah merupakan contoh lirik lagu yang dihasilkan sendiri
oleh penulis yang boleh dijadikan panduan kepada guru-guru lain untuk mengajar
dalam kelas pemulihan.
NYANYIAN KANAK-KANAK
Adik Rajin Membaca
Adik bangun pagi
Terus gosok gigi
Mandi bersih-bersih
Untuk ke sekolah
Adik rajin membaca
Boleh cepat berjaya
Adik besar nanti
Jadi insan berguna
(Dinyanyikan mengikut rentak lagu ‘Air Pasang Pagi’)
Langkah Penggunaan
- Guru akan memaparkan lirik lagu ‘Adik Rajin Membaca’ menggunakan slide power point yang telah guru hasilkan.
- Guru akan memasang minus one lagu ‘Air Pasang Pagi’ untuk dinyanyikan menggunakan lirik ‘Adik Rajin Membaca’.
- Guru akan menyanyi, kemudian murid akan mengikut nyanyian guru.
- Seterusnya, guru membiarkan murid bernyanyi beramai-ramai.
- Guru menutup slide yang memaparkan lirik lagu ‘Adik Rajin Membaca’. Kemudian, guru meminta murid mengeja perkataan KV+KVK yang terdapat dalam lirik lagu tersebut seperti ‘rajin’, ‘gosok’, ‘cepat’, ‘boleh’ dan ‘besar’.
- Murid yang berjaya mengeja akan diberikan token
Nilai Murni
- Lirik lagu tersebut mengajar murid supaya menjaga kebersihan. Murid perlu menggosok gigi dan mandi sebelum ke sekolah.
- Murid perlu rajin membaca untuk menjadi pandai
- Orang yang berilmu pasti berjaya.
NYANYIAN KANAK-KANAK
Rasa Gembira
Rasa gembira eh
Rasa sangat gembira eh
Hey, tolong emak memasak
Rasa sangat gembira eh
Kucing jinak lari terjatuh
Nampak payah daki tangga
Saya anak yang patuh
Emak ayah pasti bangga
(Dinyanyikan mengikut rentak lagu ‘Rasa Sayang’)
Langkah Penggunaan
- Guru akan menulis lirik lagu ‘Rasa Gembira’ di papan putih.
- Guru akan memasang minus one lagu ‘Rasa Sayang’ untuk dinyanyikan menggunakan lirik ‘Rasa Gembira’.
- Guru akan menyanyi, kemudian murid akan mengikut nyanyian guru sambil bertepuk tangan.
- Seterusnya, guru membiarkan murid menyanyi secara berpasangan.
- Guru memadam lirik lagu ‘Rasa Gembira’. Kemudian, guru meminta murid mengeja perkataan KV+KV yang terdapat dalam lirik lagu tersebut seperti ‘rasa’, ‘lari’, ‘saya’, dan ‘daki’.
- Murid yang berjaya mengeja boleh pulang ke kelas.
Nilai Murni
- Murid mesti rajin menolong ibu bapa membuat kerja rumah.
- Setiap murid harus taat dan patuh pada kedua ibu bapa.
- Lirik lagu tersebut mengajar murid agar sentiasa bersikap gembira .
- Ibu bapa akan bangga jika anaknya rajin belajar.